Followers

Thursday, March 31, 2011

Alert:: SPA-Q

Salam'alaik sahabat2 BADAR sekalian.
Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan slide yang disampaikan semasa SPA-Q, anda boleh download di link ini :


PERBEZAAN SYIAH & AHLI SUNNAH WAL JAMAAAH (Ustaz Eizzul)
SYIAH & KESANNYA (Ustaz Shahrom)

Memanfaatkan Internet Untuk Amal Soleh


Pada masa kini secara umumnya ramai yang telah didedahkan dan berkemahiran untuk menggunakan kemudahan internet sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi. Dengan kemudahan internet, semua kebaikan dan keburukan berada di hujung jari anda.
Terdapat tiga golongan yang menggunakan kemudahan internet ini : 
Pertama : Golongan yang memanfaatkan kemudahan internet untuk menyebarkan, berkongsi atau menimba ilmu dunia dan akhirat, menambahkan pendapatan kewangan, merapatkan ukhuwwah sesama insan dan sebagainya. Semua itu boleh dimasukkan ke dalam senarai amal solehnya dan dia mendapat ganjaran untuk kebaikan dunia dan akhiratnya.
Kedua : Golongan yang menghabiskan masa berada depan komputer dengan bermain game, mendengar lagu, berborak kosong (chatting) dengan sesiapa sahaja, 'merayau-rayau' tanpa tujuan dan yang sewaktu dengannya. Waktunya dihabiskan berjam-jam tanpa sebarang faedah untuknya.
Ketiga : Golongan yang menggunakan internet untuk memuat naik dan memuat turun gambar-gambar tidak senonoh,melawati laman-laman porno, mengumpat, menyebarkan fitnah, melaga-lagakan manusia, menghasut sehingga memutuskan hubungan silaturahim dan  memusnahkan rumahtangga, berborak menggunakan bahasa kesat dan kasar, memuat naik gambar-gambar peribadi yang mendedahkan aurat dan banyak lagi aktiviti-aktiviti di internet yang mengundang laknat dan murka Allah SWT.
Bersama-sama kita bermuhasabah. Saya dan anda golongan yang mana? Sekiranya anda golongan yang pertama, anda hebat! Anda beruntung dan berbaloi walaupun dua atau tiga jam menghadap komputer.
Sekiranya anda golongan yang kedua, anda golongan yang rugi kerana masa anda dipersia-siakan tanpa sebarang faedah. Anda akan menyesal di akhirat nanti ketika berdepan dengan hisab amalan satu persatu termasuk masa yang kita habiskan.
Atau anda golongan yang ketiga? Awas! Dan hentikan tabiat buruk itu. Anda sedar atau tidak anda sebenarnya membuat koleksi dosa-dosa sama ada dosa besar atau dosa kecil. Dosa mengumpat dan memfitnah zaman moden ini amat mudah dilakukan. Tidak perlu bersuara atau berkumpul ramai-ramai. Hanya dengan sekali klik dosa mencurah-curah menjadi milik anda.
Mudarat internet amat besar. Kerana internet  boleh menghilangkan maruah diri seseorang, boleh meruntuhkan rumahtangga, boleh memutuskan hubungan dua sahabat dan boleh meruntuhkan sebuah kerajaan.
Konklusinya, berhati-hatilah dalam menggunakan kemudahan internet. Manfaatkan kemudahannya untuk menjana amal soleh dan kebaikan di dunia dan akhirat. Jangan kerananya menyebabkan kita menerima penghinaan dan azab yang pedih bila kembali ke kehidupan yang sebenar nanti.

Monday, March 28, 2011

Aku BERGURAU Je La.....


Salam'alaik. Salam mahabbah buat sahabat2 BADAR. Semoga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang ALLAH.

GURAUAN. Salah kah bergurau? Kalau tak bergurau, dituduh mat atau minah skema pulak. Kalau bergurau lebih-lebih, nanti orang tak suka pula. Sebenarnya, bolehkah nak bergurau ni? Jom kita semak. 

Ketawa dan gurauan merupakan fitrah kejadian manusia. Islam agama lengkap tidak akan menghapuskan sesuatu yang bersifat fitrah kejadian seperti keinginan berkahwin bahkan akan membimbingnya bagi memastikan fitrah itu diurus dengan baik. Secara umumnya maksud bergurau sama dengan jenaka yang ditakrifkan sebagai perbuatan, kata-kata dan sebagainya yang dapat menggelikan hati orang lain. Seperti yang diketahui membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebaikan dan Rasulullah saw juga berjenaka dengan ahli keluarga dan sahabat baginda.


Umumnya garis panduan bergurau dan jenaka dalam Islam adalah seperti berikut:

1) Jangan berdusta.
Contoh yang mashyur ialah ramai yang berjenaka dengan cara mengenakan rakan mereka dengan ’April Fool’Akibatnya ada yang merasa sakit hati atau terguris perasaan. Jadi tujuan sebenar bergurau tidak tercapai kerana ada yang merasa dirinya tertipu. Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud: “Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa!” (AbuDaud)

2) Jangan menjatuhkan maruah orang lain.
Rasulullah saw pernah bersabda, maksudnya: “Cukuplah keburukan bagi seseorang yang menghina saudaranya sesama muslim.” (Muslim)

3) Berpada dan sederhana.
Rasulullah saw pernah bersabda: “Janganlah kamu banyak tertawa, kerana banyak tertawa itu dapat mematikan hati.” (Tirmizi). Hadis ini bukan melarang ketawa kerana ketawa adalah fitrah manusia. Yang dilarang adalah banyak ketawa. Saidina Ali r.a pernah berkata: “Berilah jenaka dalam perkataan dengan ukuran seperti anda memberi garam dalam makanan. Said bin Ash telah memberi nasihat yang baik dalam perkara ini seperti katanya: ”Sederhanalah engkau dalam bergurau kerana berlebihan dalam bergurau dapat menghilangkan harga diri dan menyebabkan orang-orang bodoh berani kepadamu, tetapi meninggalkan bergurau akan menjadi kakunya persahabatan dan sepinya pergaulan.”

4) Jangan sampai menakutkan.
Rasulullah saw telah bersabda maksudnya: “Tidak halal bagi seseorang menakut-nakutkan muslim yang lainnya (At-Thabarani)

5) Sesuai dengan masa dan tempat.
Tiap-tiap sesuatu ada tempatnya, tiap-tiap keadaan ada (cara dan bentuk) perkataannya sendiri. Allah swt mencela orang-orang musyrik yang tertawa ketika mendengarkan al-quran padahal seharusnya mereka menangis seperti maksud firmannya:
“Maka apakah kamu merasa hairan terhadap pemberitaan ini? Dan kamu mentertawakan dan tidak menangis sedang kamu melengahkannya (An-Najm:59-61)

Di samping menjaga syarat-syarat di atas, gurauan yang kita lakukan mestilah dapat diterima oleh fitrah yang sejahtera, diredhai akal yang waras dan secocok dengan tatasusila kehidupan masyarakat yang positif dan kreatif.

Wallahu’alam

Rujukan:
1) Dr. Yusof Al-Qaradhawi, Al-Mujtama’ Al-Muslim Allazi Nansyuduhu.
2) Dr. Yusof Al-Qaradhawi, Halal dan Haram dalam Islam.
3) Pelbagai.

Saturday, March 26, 2011

Bicara Cinta Antara HATI dan AKAL

alt
Di sebuah pondok usang milik seorang hamba, akal dan hati berbual berkenaan kasih dan cinta..
Akal : Assalamualaikum, sahabat.
Hati : Waalaikumussalam...
Akal : Apa khabar iman anda?
Hati terdiam...
Akal bertanya sekali lagi.
Akal : Apa khabar iman anda?
Hati : Kurang sihat mungkin.
Akal : Mengapa?   
Hati : Aku merindui dia segenap jiwaku...
Akal : Dia yang mana, sahabatku?
Hati : Kedua dia. Dia yang hakiki, juga dia yang entah kemana akhirnya..
Akal : Tidak mengapa, Itukan fitrah manusia.
Hati : Tapi rinduku kepadanya kadangkala membuat jiwaku runsing. Fikiranku melayang terbang jauh ke angkasa. Kadangkala ketika beribadah juga aku teringat dia.
Akal : Cintamu padanya, juga cintamu padaNya, cinta padaNya kan yang lebih utama.
Hati : Tapi... Aku benar cinta dia. Aku benar rindu dia. Aku mencintainya kerana Allah. Kami saling menasihati kepada kebaikan. Aku mahu mengejar syurga bersamanya.
Akal : Apa makna cinta?       
Hati : Kasih dan sayang.
Akal : Bagiku cinta itu gila.
Hati : Mengapa pula?
Akal : Apabila kita mencintai seseorang, kita asyik teringatkan dia. Apa yang dikata jangan, sebaik mungkin kita elakkan. Apa yang diminta, seboleh mungkin kita usaha. Bila ada yang lain mendekati, bergelodak rasa cemburu. Apa kau rasa begitu?
Hati : Ya. Begitu yang aku rasa.
Akal : Apa kau tahu apa pula ibadah?
Hati : Orang kata ibadah itu taat dan patuh.
Akal : Ibadah itu juga adalah cinta.
Hati : Bagaimana dimaksudkan begitu?
Akal : Ibadah itu cinta. Berkasih-kasihan dengan Tuhan.
Hati terdiam lagi...
Hati : Jadi... Apa sebenarnya yang ingin kau sampaikan wahai akal?
Akal : Fikirkan, kalau kau benar mencintai dia kerana Allah, apa kau ada mengadu kepadaNya?
Hati : Aku puas sudah berdoa. Aku mendoakannya empat puluh kali setiap hari. Siang dan malam! Tegas hati..
Akal : Apa kau berdoa kepadaNya hanya kerana apabila kau terasa jauh dengannya? Apa kau hanya melipatgandakan ibadahmu ketika jiwamu rasa tak tenang?
Hati diam dan tertunduk...
Akal : Bagaimana boleh kau katakan cintamu kerana Allah. Sedangkan kau mengabaikan Dia ketika cintamu dengannya sedang indah bercahaya. Sabarlah wahai hati. Doamu mungkin tidak makbul sekelip mata. Barangkali Allah akan memakbulkannya di lain masa. Barangkali Allah ada hadiah yang lebih berharga untukmu!
Aliran sungai merah terasa semakin deras mengalir ke kepala...
Akal : Cinta kepada manusia yang gila seperti itu, hanya layak disandarkan kepada Allah. Allah menarik cintamu kerana Allah lebih mencintaimu. Allah merindui doa dan tangisan hambanya. Allah mahu kau kembali mengindahkan cintamu kepadaNya!
Hati mulai menangis... Sepi... Kesal...

Friday, March 25, 2011

Ya Allah, Aku Mahu Berubah...



Ya allah..
syukur di atas nikmat pancaindera-mu..
dengan penglihatan…
aku dapat melihat segala kekuasaan-mu…
mengagumi segala kebesaran-mu…

Namun.. dengannya jualah…
aku melakukan kemungkaran pada-mu..
menjerumuskan diriku ke lembah dosa..
melihat pada yang tak sepatutnya...
membuatkan diri ini alpa saat hidayah-mu tiba 




Seketika ku tersedar…
mungkin belum terlambat…

untukku pahatkan dalam diri…
bahawa… aku mahu berubah…!!!

Ya allah…
jika dulu aku angkuh di bumi-mu…
alhamdulillah…
hidayah-mu mematahkan keangkuhanku..
membangunkan sifat malu…
yang selama ini tersorok dalam diri..




Ku tundukkan pandanganku…
yang selama ini meliar...
ku timbulkan kekeliruan..
pada teman-teman..
ku tempis segala teguran sinis..
ku tekadkan dalam kalbuku...
bahawa… aku mahu berubah…!!!

Ya allah…
jika dulu aku lalai dalam menunaikan hak-mu...
terleka dengan duniawi…
terkadang ku abaikan ukhrawi…


 
Subhanallah…
sesungguhnya kekuasaan-mu yang paling agung...
kau sedarkanku di saat aku hanyut… masih tak terlambat…
untuk suatu perubahan…
ku akur pada kekuasaan-mu…
lantas…
ku laungkan dalam hatiku…
aku mahu berubah…!!!



Ya allah…
ku pohon hidayah-mu…
duhai ayahanda & bonda, sahabat-sahabat serta teman-teman…
bantulah daku… bimbinglah daku…
dalam mencari… cinta yang paling agung..
cinta yang esa…
sesungguhnya…
aku mahu berubah…!!!
  Sebelum ajal menjemput tiba...




Salam mahabbah sahabat2 sekalian. Moga sentiasa dalam rahmat dan perlindungan ALLAH.
Mustahilkah? Susahkah untuk BERUBAH? Pasti jawapannya tidak mustahil. Mengapakah untuk melakukan perubahan yang positif itu lebih susah berbanding perubahan ke arah yang lebih negatif?
Adakah kerana diri ini lemah? Lemah untuk melawan godaan syaitan?
"Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk" - Surah Az-Zukhruf 43 : 37
"Dan janganlah kamu sekali-kali dipalingkan oleh syaitan sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" - Surah Az-Zukhruf 43 : 62
Hmmmm.....
Tarik nafas dalam-dalam. Ambil masa, fikir sejenak.
Yang mana lebih kita kejarkan? Perubahan yang lebih bagus atau yang sebaliknya?
Pastinya yang lebih baik.
Tetapi tidak dapat untuk kita nafikan untuk melakukan perubahan kearah kebaikan ini, jalannya dihiasi dengan ranjau yang peuh berduri, halangan, ejekan, ujian, dan semua ini adalah dugaan.
Kadang-kadang untuk berubah ini penuh dengan bisikan dan desas-desus manusia
Hendaklah kita sematkan dalam pemikiran kita, janganlah sesekali kita terpengaruh dengan kata-kata negatif terhadap diri kita, kerana andai kata kita terpengaruh dengan kata-kata tersebut, pasti berat kaki ini untuk melangkah ke alam baru, berat lagi hati ini untuk melakukannya.

Utamakanlah Pandangan ALLAH daripada Pandangan MANUSIA
Bila sekali PINTU HATI diketuk, BERSYUKURLAH...
kerana kita tidak tahu bila lagi ALLAH akan kurniakan HIDAYAHNYA kepada kita...

Wallahu'alam... 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...