Followers

Monday, May 4, 2015

Antara ZULQARNAIN & FIRAUN






Sebut sahaja nama Raja Zulqarnain, maka ramai yang akan terimbas kisah kekuatan dan keadilannya, ikon sebuah kekuatan kepimpinan Qurani. Bagi pengkaji sejarah pasti mengenali susuk karisma ini. sehingga dikisahkan didalam Al Quran, melalui Surah Al Kahfi ayat 83 - 84, 
mafhumnya :

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”.
‘Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.’
                                                                                                                      (Al Kahfi 83-84)


Kekuatan seorang raja yang menguasai timur dan barat, menggambarkan keluasan tanah jajahannya, pengaruh, kredibiliti, kepimpinan dan kekuatan yang amat hebat. Seorang raja yang mampu menggerakkan tenteranya dengan tersusun, lalu mencapai kejayaan yang berterusan, menggambarkan nilai ‘consistency’ yang amat baik. Itulah karisma dan kekuatan yang ada pada seorang raja yang soleh.  Kekuatan itu digunakan untuk membantu golongan tertindas,tetapi bukan menindas dan menekan golongan marhaen seperti yang berlaku pada dunia kini.


Pemuda dan Al Kahfi

Ya bro!......Ianya dinukilkan didalam surah yang sering dibaca pada setiap hari jumaat, namun mengejar untuk menghabiskan surah Al Kahfi setiap jumaat menjadi priority utama, tetapi tidak pernah di belek maknanya langsung. Sekali sekala beleklah maksudnya. Pemuda tidak sedar bahawa surah yang dibaca ada menceritakan perihal dirinya, perihal ‘orang muda’. Kisah pemuda yang ‘ditidurkan’ dan bagaimana Allah membantu orang muda. Come on orang muda, terjemahan Al Quran tidak semahal gadget canggih yang dibeli.




Fir’aun yang bongkak

Suatu hari Halimah (bukan nama sebenar) menekan papan kekunci pada laman ‘google’, pada asalnya ingin menaip ‘Fish n Chips’,mahu mencari resipi / tutorial barangkali bagaimana menyediakan hidangan tersebut ,lalu tersilap meneekan satu huruf dan terkeluar carian ‘Firaun’. Sebut sahaja Raja Firaun, maka seantero dunia mengenali susuk tubuh yang kejam dan zalim ini, iaitu Firaun yang diceritakan didalam Al Quran, mafhumnya :

‘Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.’
                                                                                                          Al Qasas : 4


Dialah seorang raja yang menganggap dirinya tuhan, dek kerana kekuasaan yang dirasakan terlalu besar dan hebat, mampu juga menggerakkan ribuan tentera. Masakan tidak, batu-batu piramid itu diangkut oleh hamba-hamba abdinya, kuat benar menindas orang bawahan.


Dan perlu juga diketahui fakta ini, bahawa gelaran firaun itu bukan merujuk kepada seorang individu semata-mata, tetapi ia adalah nama gelaran bagi penguasa-penguasa mesir kuno pada zaman dahulu. Zalim sungguh firaun ini,mengerahkan tenteranya menyempurnakan tindak tanduk yang zalim dan jahat, membunuh anak – anak kecil dengan semberono, mengaku tuhan,namun siapa sangka didalam istana sendiri telah membesarnya seorang Nabi yang kemudian bangkit menentangnya.


Antara hitam dan putih

Seorang raja yang soleh dan seorang lagi raja hampagas yang bongkak. Apa perkaitannya dua raja yang disebutkan di atas? Kedua-duanya mempunyai kuasa, menggerakkan tentera, memberi arahan, menyempurnakan misi, lantang berpidato, menyampaikan hujah. Namun seorang raja yang baik, mengarahkan tenteranya bagi mempertahankan orang tertindas. Manakala raja yang jahat memberikan arahan melakukan kezaliman dan membunuh golongan lemah. Tentera hanya mengikut. Disuruh berbuat baik, maka baiklah yang ia lakukan, disuruh berbuat jahat, maka jahatlah yang dilakukan. Tentera akan patuh arahan raja. Pantang mundur kecuali operasi.


Raja tubuh badan

Sungguh, begitu juga anggota badan kita turut mempunyai raja. Hati merupakan raja kepada anggota badan. Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam :

“Ketahuilah bahawa di dalam tubuh ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh anggota tubuh itu baik. Dan apabila seketul daging itu rosak, maka seluruh anggota tubuh itu turut rosak. Ketahuilah bahawa itu adalah HATI.”     [HR Bukhari]


Baiknya raja, maka baiklah tenteranya. Buruknya raja, maka buruklah tindakan tenteranya. Arahan diterima akan dijalankan. Kerana itu apabila hati ini kotor dan hitam, maka pemikiran, percakapan dan perlakuan kita juga akan turut kotor dan buruk. Kata-kata kesat, carutan dan makian yang keluar menggambarkan hati yang kotor. Sebaliknya kejernihan dan ketenangan kata-kata menggambarkan jernihnya hati. Umpatan, hasutan dan domba yang dicanang-canang adalah hasil daripada kekotoran hati yang menghitam.



Detective Conan juga tidak mampu

Masih belum ada saintis yang berjaya mencipta alat mengesan radar putih dan hitam didalam hati. Justeru ia sesuatu yang tidak mampu dilihat. Berapa ramai yang terpedaya dengan mainan syaitan, menyangka hatinya bersih, atau terlupa hati yang kotor. Detektif Conan juga tidak mampu menyelesaikan permainan licik syaitan dan iblis. Agamawan juga mampu tumbang dengan perancangan halus syaitan, apatah lagi anak muda yang tangannya sering lenguh kerana terlalu kerap ‘scroll’ Facebook. Atau pergelangan tangannya terseliuh dek kerana terlalu kerap ber’selfie’.
Senjata syaitan bukan pisau atau AK-47, tetapi tiga serangkai utama senjata senyap syaitan yang perlu dielak,iaitu hasad, riak dan ujub. Mudah sekali terkena tembakan.



Jaga dengan teliti

Mudah menutur namun sukar melaksanakan. Penjagaan hati memerlukan kesungguhan yang tinggi, ilmu yang menyuluh, dan ketelitian didalam tindakan. Elemen penting sebagai mekanisme penjagaan hati adalah kekerapan bermuhasabah diri. Tidur jangan terus lelap, renungkan keadaan diri dahulu, segala tutur kata yang digunakan sepanjang hari. Apabila tersedar, istighfarlah segera. Selamat menjaga hati wahai sahabat!


Faisal Afifi
Penulis seorang rakyat marhaen kampus, Tahun 3 FTK, seorang aktivis BADAR UTeM.



Rujukan gamba;

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...