Followers

Friday, June 8, 2012

Hakikat Ujian dan Peperiksaan yang sebenar




Peperiksaan…Test…試験…ujian, perkataan ini amat sinonim dalam kehidupan seorang yang digelar mahasiswa. Kadang-kadang dalam satu hari, berbondong-bondong ujian yang perlu diambil dan jarang sekali satu ujian pun tiada. Sedia ataupun tidak, mahu ataupun tidak, ujian itu perlu diambil kerana ia menjadi kayu ukur pencapaian akademik dan juga tanggungjawab ilmu terhadap diri. Oleh sebab itu, kita tidak hairan apabila melihat ramai siswa siswi pada malam hari sebelum ujian sanggup bersengkang mata untuk menelaah pelajaran demi meraih markah mumtaz (cemerlang). Meskipun begitu, kita dapat melihat juga gelagat siswa siswa yang mabuk dibuai mimpi indah tanpa kerisauan mencengkam diri. Inilah cebisan diari siswa siswi dalam mengungkap erti ‘ujian’.

Ketika kita sibuk berbicara tentang ujian, berapa ramaikah daripada kita yang sedar akan hakikat ‘ujian’ yang sebenar? Percayalah kuantitinya amatlah sedikit. Memang tidak dinafikan bahawa ujian atau peperiksaan di universiti mahupun di bangku sekolah itu penting bagi membina kecemerlangan akademik. Sewaktu kecil lagi kita diajar untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam ujian supaya bila sudah dewasa nanti hidup akan senang. Oleh sebab itu, kita melihat ujian ini sebagai agenda terpenting dalam hidup. Resah gelisah bila gagal, merasakan masa depan yang diimpikan hancur berkecai.
Ketahuilah bahawa persepsi kita terhadap ‘ujian’ amatlah lemah. Kita hanya melihat luaran bukan dalaman, hanya melihat dari sudut ‘small picture’ bukan ‘big picture’ kerana kita masih duduk dalam fatamorgana dunia. Kita yakin bahawa apabila kita cemerlang dalam ujian ataupun peperiksaan mampu mencorak hidup di dunia ini. Oleh itu, kita belajar dan belajar, demi mencapai cita-cita yang unggul dan mengharapkan masa depan yang mampu mencetus saat kebahagian. Keputusannya, kita menjadi sungguh sibuk dengan kehidupan duniawi.
Bukankah Allah sahaja yang berkuasa menganugerahkan kejayaan itu kepada kita? Ternyata bukan sedikit pun usaha yang kita curahkan bernilai tanpa bertunjangkan izin dan belas kasihan Allah. Tambahan pula, bukankah tujuan kita hidup di dunia adalah untuk memperhambakan diri kepada-Nya? Memang tidak dinafikan mencorak hidup di dunia ini penting, kerana Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda, “Dunia itu adalah tanam-tanaman untuk Akhirat.” (Riwayat Al ‘Uqaili). Persoalannya adalah ‘dunia’ yang bagaimana kita ‘tanam’ untuk akhirat. Adakah benar-benar menanam untuk menuai di akhirat kelak? Tepuk dada tanya iman kita. Kita tidak mampu untuk menipu diri sendiri apatah lagi kepada Allah Yang Maha Mengetahui segala isi hati hamba-Nya seperti yang terbukti dalam firman Allah dalam Surah ‘ali Imran ayat ke-29:
 Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu..
Oleh itu, marilah kita menghadapi kehidupan di dunia ini untuk menuju akhirat. Kita pergi kuliah untuk mengejar akhirat. Kita pergi ke pejabat untuk mendapatkan akhirat. Kita mengambil peperiksaan untuk meraih akhirat. Segala yang kita lakukan sebagai ’tanaman’ untuk akhirat. Justeru, nawaitu kita memainkan peranan yang amat penting dalam hal ini. Bukan mudah untuk mengekalkan nawaitu segala perlakuan dan pekerjaan kita itu semata-mata kerana Allah. Maka ikutlah apa yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W dengan perbanyakkan membaca doa ini,
Wahai Yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati ini pada ketaatan padaMU,
Wahai Yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati ini pada DinMU.
Meskipun doa sahaja belum cukup untuk menjinakkan hati agar sentiasa mengingati Allah. Sesungguhnya itulah ‘ujian’ yang setiap daripada kita perlu mencapai tahap mumtaz (cemerlang). Itulah ‘ujian’ yang sebenar-benar ujian…

Sumber :-

2 comments:

  1. BADAR UTeM ni banyak copy paste je.

    ReplyDelete
    Replies
    1. ia tetap satu perkongsian :)
      ilmu itu hak Allah bukan hak sesiapa
      utk kita sama2 kongsi dan sebarkn
      agar sama2 dpt mngambil mnfaat drpdnye
      wallahu a'lam

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...