Lihat alam ini,seluruh dan
sepenuhnya dipermudahkan untuk dikuasai manusia.Haiwan dan tumbuhan seolah-olah
diciptakan untuk berkhidmat kepada manusia.Tumbuhan mengambil yang buruk (karbon
dioksida) daripada manusia dan mengeluarkan oksigen yang bersih buat kita
bernafas.
Kulit, daun, akar, pucuk dan
segala-galanya menjadi sumber makanan, ubat-ubatan, pakaian dan perlindungan
untuk manusia.Begitu juga haiwan, daging, bulu dan kulitnya semuanya
dimanfaatkan untuk manusia.
Ketika segala-galanya diciptakan
untuk kita, maka wajar pula kita bertanya kita dijadikan untuk siapa? Ya, ada
maksud besar misi kedatangan manusia ke dunia. Justeru, misi yang besar itulah
segala-galanya dipermudahkan buat manusia.
Dua misi besar itu sangat berat
dan sukar.Ia adalah amanah yang pernah ditawarkan pada langit, gunung-ganang
dan bumi tetapi mereka menolaknya.
Firman Allah:
Firman Allah:
“Sesungguhnya kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta
gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakan;
dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.”
Al Ahzab 33:72
Gunung, langit dan bumi tidak
sanggup menanggung misi besar itu, mereka hanya sanggup menjadi ‘pembantu’
manusia untuk melaksanakannya. Justeru, mereka lebih rela dikuasai daripada
mengusai manusia.Mereka hanya ingin menjadi sekolah, manakala manusia menjadi
pelajar-pelajarnya.Allah yang menjadi ‘Guru’ dalam sekolah besar (jagat raya)
ini sentiasa mendidik manusia agar layak menjadi graduan yang layak mendapat
ijazah keredhaan-Nya dan syurga.Sedarkah kita?
Justeru, marilah sama-sama kita
mengingatkan: Alam itu sekolah insan. Jadilah pelajar yang baik. Belajarlah
dari alam!
Begini ceritanya…
Nabi Sulaiman bertanya kepada seekor semut tentang
berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam setahun. Semut
menjawab, ia hanya perlukan makanan sebanyak sebiji butir gandum. Lalu Nabi
Sulaiman memasukkan semut tersebut dalam satu botol dengan diletakkannya gula sebesar
sebutir gandum. Mulut botol itu kemudiannya ditutup.
Cukup tempoh setahun, mulut botol itupun dibuka
semula oleh Nabi Sulaiman.Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada
gula sebesar butir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut. Nabi
Sulaimana bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan
sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebiji buah gandum?
Sang semut menjelaskan bahawa jika di luar botol
rezekinya dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan
mencukupkan rezekinya. Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu.Tetapi
apabila dikurung oleh manusia (Nabi Sulaiman) ,semut mengambil langkah
berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan sifat prihatin
manusia.Mana tahu, kalau-kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih
daripada tempoh satu tahun?Apa akan terjadi kepada dia(semut)?
Ertinya, semut lebih yakin kepada jaminan Allah
ketika di luar botol berbanding ’jaminan’ manusia ketika berada di dalam botol.
Untuk menghadapi kemungkinan itulah semut mengambil langkah berjimat cermat
yakni dengan memakan hanya separuh sahaja daripada apa yang diperlukannya dalam
masa setahun supaya jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan, dia mampu
bertahan. Masih ada baki makanan yang boleh digunakan.
Inilah sifat tawakakal dan ikhtiar yang kita boleh pelajari dari semut.Jangan sekali-kali bergantung kepada sesama makhluk dalam soal rezeki.Bergantunglah kepada Allah. Kalau ada pihak yang berkata, saya jamin bekalan makanan atau simpanan petrol akan sentiasa mencukupi untuk sekian-sekian tahun… jangan terlalu yakin. Sebaliknya, bertawakkallah kepada Allah dan berikhtiarlah dengan keupayaan sendiri. Jika tidak, kita akan dikecewakan. Jadilah seperti semut itu.
BELAJAR DARI UNTA
Aneh,
Allah meminta kita melihat unta. Dalam Al Quran, ada dorongan yang begitu jelas
tentang itu. Firman Allah:
“Maka apakah mereka tidak memerhatikan unta
bagaimana ia diciptakan?” – Al Gashiyyah: 17
Jika sudah ada dorongan sedemikian daripada Allah,
sudah pasti itu adalah sesuatu yang sangat penting. Maha suci Allah, yang tidak
akan meletakkan sesuatu yang remeh-temeh dalam Al Quran yang begitu agung dan
mulia. Dan sudah pasti juga tentu ada kebaikan, pengajaran dan manfaat hasil
dorongan itu.
Di negara kita sukar untuk melihat unta.Kecuali di
zoo atau sekali-sekala bila musim Hari Raya Korban, mungkin anak-anak
berpeluang melihat unta dari dekat. Tapi rasanya itu bukan halangan untuk kita
memenuhi dorongan Allah itu. Anak-anak boleh mendapat maklumat tentang
keajaiban unta menerusi buku-buku, laman web ataupun majalah-majalah. Baiklah,
sekarang mari saya ceritakan beberapa ‘keajaiban’ untuk menjadi
pengajaran bagi kita.
1.
Bulu badan
unta yang tebal bukan sahaja melindunginya daripada suhu panas dan sejuk,
tetapi juga mencegah tubuhnya kehilangan air.
2.
Ia dapat
menghalang badannya daripada berpeluh dengan cara meningkatkan suhu badan
sehingga 41 darjah celcius.
3.
Bulu yang
panjang pada hidung dan telinganya sebagai perisai daripada pasir dan debu
padang pasir.
4.
Mampu
menghabiskan 30 – 50 kg makanan sehari jika ada makanan, sebaliknya mampu
bertahan hanya makan 2 kg rumput sebulan bila kekurangan makanan.
5.
Dapat hidup
tanpa makanan dan air selama 8 hari di bawah suhu 50 darjah
celcius.
6.
Ia dapat
meneguk air sebanyak 130 liter dalam jangkamasa 10 minit (yakni kira-kira 1/3
daripada jumlah keseluruhan berat badannya).
Wah, begitu hebat keajaiban unta itu ya?Tentu Penciptanya jauh lebih hebat.Siapa lagi, kalau bukan Allah. Dengan persekitaran padang pasir yang begitu panas dan sumber air yang begitu terhad, namun Allah maha Bijaksana untuk mencipta segala keunikan dan kelengkapan pada unta untuk berdepan dengan segala kesukaran itu. Mustahil kejadian unta ini secara kebetulan – melainkan terlebih dahulu dirancang dan dilaksanakan penuh teliti dan terperinci.
Jika anak-anak masuk ke dalam sebuah bilik dan
melihat kerusi, meja dan lain-lain perabot begitu kemas tersusun rapi logikkah
anak-anak mendakwa semuanya berlaku dengan sendirinya?Mustahil, semuanya
teratur, jika tidak ada yang mengatur.Unta yang begitu rumit kejadiannya itu
pasti juga ada yang mengaturnya.
Jadi,
pengajarannya buat kita ialah Allah itu Maha Pencipta.Jangan diragui dan
disangsikan lagi.Penciptaan Allah itu bukan sahaja yang melibatkan soal-soal
yang dapat dilihat oleh mata kasar bahkan juga perkara-perkara yang ghaib.
Lihatlah unta, haiwan-haiwan dan seluruh kejadian alam ini… Bukankah semuanya
tercipta dengan sistematik. Jadi, jangan diragui ciptaan yang belum kita lihat
lagi – syurga, neraka, Padang Mahsyar dan sebagainya – kerana kita telah
melihat ‘keajaiban’ ciptaan yang sedia ada pada hari ini. Mungkin inilah
pengajaran di sebalik dorongan Allah, lihatlah unta… bagaimana ia diciptakan!
BELAJAR
DARI LAUT
Mari kita
lihat laut. Mungkin sesetengah kita merasakan bahawa laut merupakan ciptaan yang
biasa.Tetapi tidak, laut sebenarnya adalah ciptaan Allah yang luar biasa.Laut
sangat luas.Ia merangkumi hampir tiga perempat muka bumi. Cuma kerana sudah
terbiasa kekadang kita tidak merasa bahawa laut sangat luar biasa. Baiklah, sekarang saya hendak datangkan satu perbandingan.
Anak-anak pernah mendengar cerita kapal yang sangat
besar bernamaTitanic? Semua orang kagum waktu kapal yang sangat besar itu
dibina.Kapal yang tidak mungkin tenggelam, begitu dakwa jurutera dan arkitek
yang membinanya. Setelah Titanic siap dibina, ia pun dilengkapi dengan pelbagai
kemudahan untuk belayar dari England menuju Amerika. Itu merupakan satu
perjalanan yang jauh merentasi laut Atlantik.Seluruh dunia menumpukan perhatian
kepada peristiwa yang sangat bersejarah itu.Tidak kurang yang rasa angkuh dan
megah dengan kehebatan teknologi terkini pada waktu itu.
Malang. Titanic ditimpa malapetaka dalam
perjalanan.Ia tenggelam setelah terlanggar dengan… cuba teka. Dengan batu
karang? Akibat ribut atau taufan? Tidak.Titanic tenggelam hanya
disebabkan berlanggar dengan air… air yang beku – ‘iceberg’. Pada waktu itu
dunia terkejut.Kapal yang sebesar dan sehebat itu akhirnya tenggelam
juga. Begitu hebat Titanic yang dibina manusia, tetapi hanya sekelumit bila
dibandingkan dengan lautan yang dicipta Allah.
Setelah lama tenggelam, saintis mengambil masa yang
lama untuk menentukan lokasi di mana tragedi itu berlaku.Tempat Titanic
tenggelam terlalu sukar dikesan justeru kapal yang besar itu hanya umpama
sebilah jarum sahaja sahaja dibandingkan dengan lautan Atlantik yang sangat luas
itu.Begitu kerdil ciptaan manusia, sedangkan Atlantik bukanlah lautan yang
terluas.Lautan Pasifik lebih luas lagi.Begitulah anak, luar biasanya keluasan
laut.
Air laut sangat masin.Itu juga sangat luar
biasa.Allah tidak ciptakan sia-sia.Kemasinan laut itulah yang menyerap bau
seluruh sampah yang dialirkan kepadanya.Bayangkan, seluruh kotoran di dunia
dialirkan ke laut oleh sungai.Sampah sarap, bangkai, najis dan lain-lain
dialirkan ke laut.Tidak keterlaluan kalau dikatakan, laut adalah ‘tong sampah’
yang paling besar di dunia. Sejenak fikirkan… apa akan jadi kalau air laut
seperti air sungai yakni rasanya tawar? Tentu ia akan dicemari dengan bau yang
sangat busuk.
Kalau itulah yang berlaku, seluruh dunia akan
dicemari oleh bau yang sangat busuk. Kesihatan akan terjejas. Hidup tidak akan
tenteram. Mujurlah air laut tidak tawar. Dengan kadar kemasinannya yang sangat
tinggi itu, ia mampu menyerap bau dan ‘mengawet’ kekotoran yang banyak.
Anak-anak akan faham proses saintifik ini jika bertanya kepada guru-guru di
sekolah. Secara mudah, saya boleh katakan itu samalah seperti peranan garam
yang boleh mengawet isi ikan dalam proses membuat ikan masin.
Diharap sekarang anak-anak akan faham betapa hebatnya
laut ciptaan Allah bukan? Keluasan dan kemasinannya punya rahsia yang tersirat.
Jadi apabila anak-anak melihat laut, jangan lihat begitu sahaja… sebaliknya
renungkanlah kehebatannya, dan kemudian rasailah kehebatan Penciptanya… Allah.
BELAJAR
DARI CICAK
Aneh sekali, makanan cicak ialah serangga yang
boleh terbang.Lalat, kumbang kecil dan lain-lain yang mempunyai kepak.Kalau
difikirkan secara logik, mana mungkin cicak yang hanya ada kaki yang melekap di
dinding dan di syiling itu mampu ‘memburu’ mangsanya yang boleh terbang.Tentulah
begitu sukar bukan? Bukankah lebih sesuai jika Allah kurniakan untuk cicak
sepasang sayap yang juga mampu terbang bagi memburu mangsanya? Barulah
adil.
Tapi Allah SWT Maha Mengetahui, sungguhpun cicak
tidak dikurniakan sayap tetapi Allah kurniakannya lidah yang panjang, mata yang
tajam dan kecekapan yang luar biasa untuk mendapat rezekinya. Seolah-olah cicak
tidak ‘mengeluh’ kerana tidak bersayap, sebaliknya menggunakan lidah, mata dan
kakinya dengan penuh kesungguhan untuk mencari rezeki.Secara mudah, bolehlah
dikatakan cicak tidak fokus pada kekurangannya, sebaliknya fokus pada
kelebihannya.Hasilnya, cicak tetap dijamin rezekinya.
Anak-anak juga perlu belajar daripada kegigihan
cicak ini.Sebagai manusia, kita juga ada kelebihan, dan kita juga ada kekurangan.Untuk
berjaya kita perlu tumpukan pada kekuatan kita.Mungkin kita pelajar miskin,
tapi itu bukan penghalang untuk berjaya.Tumpukan pada kerajinan kita.Mungkin
fizikal kita agak lemah, tetapi pertajamkanlah fikiran kita.Mungkin kita anak
yatim, tetapi kita masih boleh membina hubungan yang baik dengan ibu saudara,
bapa saudara, guru-guru dan teman-teman kita. Tegasnya, jangan jadikan
kekurangan sebagai satu alasan… tetapi tukarkan ia menjadi satu kelebihan!
Jadi bila anak-anak melihat cicak, jangan pandang
begitu sahaja.Jangan hanya melayan imaginasi minta diberi sepasang kaki dan
tangan seperti cicak… sedarlah kita lebih mulia daripada cicak.Sebaliknya
pandang kelebihan yang ada pada kita manusia.Pandanglah kekuatan kita sebagai
seorang individu yang punya pelbagai keistimewaan. Allah Maha Kaya, pasti ada
kelebihan pada setiap manusia yang diciptakan-Nya termasuk diri kita. Ingatlah
ungkapan yang berbunyi:
IMAN BT PAHROL
EXCO KESUKARELAWAN DAN KOMUNITI
BADAN DAKWAH DAN ROHANI
UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA