12 bulan saban menanti,
Di dalamnya tarbiyyah pemantapan diri,
kini tiba Ramadhan dirindui,
Pembinaan taqwa kepada Ilahi.
Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT kerana masih lagi diberi nafas untuk sampai kepada bulan Ramadhan Kareem ini. Selawat dan salam ke atas baginda Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat yang telah menjadikan Islam itu sampai kepada seluruh umatnya sehingga kita dapat merasai ketika ini.
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,
Apabila datangnya bulan ramadhan, perkara utama yang terlintas di dalam kotak pemikiran kita sudah tentu tentang kelaparan kerana tidak boleh makan dan minum. Terpaksa bangun awal untuk bersahur, dan menunggu berjam-jam untuk berbuka. Di saat itu, barulah teruji iman melihat hidangan air ribena, dan air sunquick dituang ketika menonton televisyen. Di saat itu barulah kita terliur melihat kek secret recipe yang terpamer di kedainya walaupun kita tiap-tiap lalu, buat tidak endah.
Tetapi
, pernah kita terfikir, apakah objektif utama Allah menjadikan bulan kewajipan berpuasa ini kepada hambaNya? Adakah sekadar untuk hamba-hambaNya menahan lapar ketika lalu di Restoran KFC, kedai makan Yong Tau Fu, coconut shake dan sebagainya?
Ataupun ada objektif yang lebih besar?
Bulan Mencipta Hamba Muttaqin
"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu
bertaqwa."
[Surah al-Baqarah, 2: 183]
Tidak dinafikan, sebagai manusia kita juga memerlukan something yang mendesak kita untuk berubah ke arah yang lebih baik. Dalam bulan Ramadhan, Allah mewajibkan bagi seluruh umat Islam untuk berpuasa mudah-mudahan kita dapat menjadi hambaNya yang bertaqwa. Ya! Berpuasa adalah salah satu cara kita mendidik kita menjadi hamba yang bertaqwa. Menahan lapar sementara dapat melatih diri kita agar taat dengan perintah Allah yang telah diturunkan dan meninggal laranganNya. Menahan lapar dapat memberi kesedaran kepada manusia bahawa Allah sahajalah tempat memberi rezeki di samping meletakkan pergantungan tinggi kepada Allah.
Tempat Berpesta Ibadah beramai-ramai!
Selain itu, pada bulan Ramadhan juga, kita dapat lihat pelbagai acara dan pesta ibadah diwujudkan di masjid dan surau. Seperti telah menjadi adat, ketika inilah kita dapat melihat orang berpusu-pusu pergi menunaikan solat di masjid/surau. Walaupun kita tidak pernah melihat orang sebelah di hari-hari yang lain, tetapi ketika bulan Ramadhan lah kita dapat lihat pelbagai jemaah lain solat bersama-sama sewaktu tarawih di kiri dan kanan. Seolah-olah berpusu memburu amal pada bulan Ramadhan. Alhamdulillah.
Antara Pesta Ibadah yang sangat dituntut di bulan yang mulia ini:
1. Perbanyakkan bersedekah di masjid/surau.
2. Tadarrus Al-Quran beramai-ramai.
3. Mengejar Lailatul Qadr.
4. Solat Berjemaah di Masjid/surau.
5. Berbuka puasa (Iftar Jamaie) beramai-ramai
6. Menyediakan makanan kepada yang berpuasa
dan pelbagai lagi. Jangan lepaskan peluang!
Medan Bermujahadah dengan Nafsu
Nafsu tidak mudah ditundukkan tanpa adanya mujahadah. Pada bulan Ramadhan, kita disarankan untuk bermujahadah, menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa. Antaranya, seperti menahan diri daripada makan dan minum serta melakukan perkara yang membatalkan puasa. Namun, hari ini kita tidak kalah untuk makan dan minum, tetapi kalah dengan semangat culas, bermalas-malasan dan tidur sepanjang hari di bulan Ramadhan.
Antara tips mengelakkan kejadian yang merugikan itu berlaku di bulan yang mulia ini:
1. Sentiasa menyegarkan diri dengan aktiviti sukan seperti bersenam, berjalan-jalan menikmati keindahan ciptaanNya dan lain-lain.
2. Melakukan aktiviti bermasyarakat seperti bergotong royong, menolong ibu bapa, membantu aktiviti di masjid/surau berdekatan dan lain-lain.
3. Memantapkan diri dengan amal-amal fardi kepada Allah SWT.
4. Menghayati kisah peperangan Rasulullah SAW di bulan Ramadhan.
Muhasabah Ramadhan!
Jika kita berasa culas, bagaimana zaman Rasulullah dan para sahabat mampu membuka kota Makkah pada bulan Ramadhan dengan sedikit makan?
Jika kita berasa lemah, bagaimana zaman Rasulullah dan para sahabat boleh menjuarai siri-siri episod peperangan dalam bulan Ramadhan?
Hamba yang mutaqqin tidakkan sekali-kali tunduk terhadap nafsunya ketika melihat juadah makanan terpampar di hadapannya walaupun tiada siapa yang melihatnya, kerana yakin dengan asma' Allah yang Maha Melihat. Hamba yang muttaqin tidakkan sekali-kali culas dan tidur sepanjang masa atau mengsiakan-siakan waktu yang ada dengan bermain games, membelek facebook, twitter, instagram sahaja.
Tetapi hamba yang muttaqin akan berusaha meningkatkan amalnya di bulan ramadhan agar sentiasa menatijahkan yang terbaik di hari akhirat kelak.
Oleh itu, sama-sama kita hayati hakikat Allah menurunkan Ramadhan bukan sahaja tempat berlapar dan dahaga, di samping kita berusaha menjadi hamba yang muttaqin kepadaNya.
Wallahu'alam.
Artikel Berkaitan:
"Barangsiapa yang berpuasa di Bulan Ramadhan dengan keimanan
dan mengharap keredhaan Allah, akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu."
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]
AHMAD IRSYAD BIN MOHAMAD AYOB
EXCO KEPIMPINAN DAN DAKWAH BADAR UTeM
No comments:
Post a Comment