Aku juga begitu.
Aku pernah berazam penuh tekad tidak akan mengulangi kesilapan lalu. Aku duduk
bertaubat, menangis segala dosa yang aku kerjakan. Aku benar-benar menyesal.
Aku menangis penuh rintihan, memohon kepada Allah agar diriku diampunkan.
Kemudian aku
bangkit menjalani kehidupan sebagai seorang insan yang ‘baru’. Insan yang
mahu berubah ke arah yang lebih baik. Sejak hari itu, aku mula merasakan
ketenangan yang sungguh mendamaikan.
Tapi… entah
mengapa, sungguh mudah diriku tewas dengan nafsu. Hanya dengan satu buaian
keseronokan yang merosakkan, aku terus jadi lena tidak sedarkan diri. Padahal
sebelum ini sudah berkali-kali aku diberi nasihat. Sama ada melalui al-Quran,
hadis, ceramah, buku dan macam-macam lagi. Namun tetap juga lalai dan jatuh.
Segala teguran yang meresap ke dalam jiwa hanya melekat sebentar sahaja.
Hatiku tidak
ubah seperti daun keladi, tetap tidak basah walaupun disiram berkali-kali.
Seakan-akan begitu yang aku rasakan. Lalu aku persoalkan : Mengapa? Mengapa
begitu wahai diri?
“Nasihat yang
bagaimana lagi yang kau mahukan agar dirimu berhenti bermaksiat? Mahukah kau
melihat azab dibentangkan di hadapan matamu, baru kau betul-betul tersedar?
Mahukah? Atau kau mahu malaikat Maut datang kepadamu terlebih dahulu baru kau
betul-betul berubah?”
Persoalan itu selalu
singgah menyapa diriku yang hina ini. Menegur diriku dan memuhasabahkan diriku.
Juga membuktikan bahawa diriku masih punya iman dan harapan. Namun iman yang
aku miliki terlalu lemah dan tidak bermaya. Mudah sangat goyah. Puncanya kerana
apa? “Alaa,,, biasalah tu,,, kita manusia, bukan Malaikat, Iman kita sentiasa
turun naik.”
Ya, itu Betul.
Tapi kenyataan itu kadang-kadang hanya menjadi alasan buat diriku sehingga aku
jadi tidak kisah dengan dosa. Aku tahu aku silap. Sepatutnya, aku perlu
pulihkan dan tingkatkan iman walaupun tidak mampu istiqamah sepertimana
malaikat. Tapi mengapa aku tidak boleh? Mengapa begitu mudah aku patah balik ke
belakang?
Kini aku
menyedarinya. Rupa-rupanya selama ini aku kurang bermujahadah, aku tidak kuat
mentarbiyyah diriku sendiri. Aku kurang bersungguh-sungguh dalam kehidupan. Aku
tidak betul-betul serius meninggalkan dosa. Mudah kata, aku terlalu manjakan
diriku.
Lalu apabila aku
menyedari akan semua ini, aku melihat dan merenung kembali diriku dengan penuh
harapan dan keazaman yang baru. Apa yang perlu aku buat tidak lain tidak bukan
adalah dengan meningkatkan kualiti amal, perbanyakkan buat kebaikan, tinggalkan
perkara-perkara lagho, serta rangka dan disiplinkan rutin harian yang baik.
Dan untuk buat
semua itu, aku wajib belajar bertegas dengan diri sendiri. Jangan biarkan diri
binasa lagi. Bertegas, bertegas dan bertegas. Bina kehidupan baru semata-mata
kerana Allah dan teruskan memohon maaf kepada Allah serta yakin terhadap
pengampunanNya.
Juga jangan
sesekali berputus asa dengan rahmat dan kasih sayangNya. Kerana Allah memahami
keadaan hamba-hambaNya dan bersedia mengampunkan segala kesalahan hambaNya.
Sekiranya hambaNya benar-benar mahu diampunkan, Allah yang khabarkan
sedemikian.
“ Wahai
hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu
berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa
kesemuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
[39:53]
Lagi pujukan dalam
satu hadis Nabi s.a.w yang sangat menyentuh sanubari, Nabi s.a.w telah bersabda
yang bermaksud:
Seseorang telah
melakukan satu dosa, lalu dia berkata: “Wahai Tuhanku ampunilah dosaku”.
Lalu Allah azza
wa jalla berfirman: “HambaKu telah melakukan dosa dan dia mngetahui bahawa
baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, Aku ampunkan dosanya”.
Kemudian dia
kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: “ Wahai Tuhanku, aku telah
melakukan dosa, ampunilah dosaku”.
Lalu Allah azza
wa jalla berfirman: “HambaKu telah melakukan dosa dan dia mngetahui bahawa
baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, Aku ampunkan dosanya”.
Kemudian dia
melakukan sekali lagi dia berkata: “ Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa,
ampunilah dosaku”.
Lalu Allah azza
wa jalla berfirman: “HambaKu telah melakukan dosa dan dia mngetahui bahawa
baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, Aku ampunkan hambaKu ini,
buatlah apa yang kau mahu, Aku ampunkan engkau”.
[Riwayat
al-Bukhari dan Muslim]
Jelas bukan?
Rahmat pengampunan Ilahi sangat luas tanpa tandingan. Begitu agung kasih Allah
kepada diriku dan diri kita semua. Begitu sayang Allah pada kita, si pelaku
dosa. Rugi besarlah andai kita kembali ke belakang dengan tidak mensyukuri
kurniaan pengampunan ini. Sungguh rugi, rugi serugi-ruginya. Itu yang aku akui…
RAHMAT BIN BAHAN
EXCO PERHUBUNGAN DIPLOMA
BADAN DAKWAH DAN ROHANI
UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA
No comments:
Post a Comment