Followers

Sunday, November 3, 2013

ISTIDRAJ

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurniaan dan rahmatNya, kita masih lagi dapat menikmati kehidupan ini. Kita masih lagi dipinjamkan nafas untuk meneruskan kehidupan dan yang lebih penting, bersyukur kita kerana masih diberikan dua nikmat yang besar iaitu nikmat iman dan Islam. Tanpa kasih sayang Allah, entah berada di mana kita sekarang ini. Puji-pujian hanyalah untuk Allah S.W.T. .Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

Buat pertama kalinya dicoretkan sesuatu di dalam blog BADAR UTeM untuk dikongsikan bersama. 

ISTIDRAJ
Pernah dengar perkataan istidraj? Pernah ambil tahu apa itu istidraj? Atau istidraj itu ada dalam diri kita sebagai seorang Muslim?

Istidraj itu adalah pemberian nikmat Allah S.W.T. kepada manusia di mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj. Secara ringkasnya untuk kita mudah faham, istidraj itu apabila Allah S.W.T. memberi nikmat kepada kita, tapi kita semakin menjauh dariNya.

Rasulullah S.A.W. bersabda,
“Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah S.W.T..”
(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Bagaimana sahabat-sahabat? Adakah istidraj itu ada dalam diri kita? Manusia ini boleh dikatakan macam lupa daratan. Lupa kepada Pencipta. Lupa kepada Yang Maha Berkuasa. Kita selalu lihat, ada orang yang tidak solat 5 waktu, tidak keluar zakat, tidak puasa, pendek kata, Islam itu hanya hiasan di  dalam kad pengenalan sahaja. Ada antara mereka yang Allah kurniakan pelbagai nikmat kepadanya.Kereta mewah, rumah besar, harta yang banyak, kerja yang bagus dan pelbagai lagi. Sedangkan ada orang yang solat tidak tinggal, puasa, keluar zakat, hidupnya hanya untuk Allah, tapi kehidupannya hanya biasa-biasa sahaja. Manusia istidraj ini walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. “Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong.” Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.

Orang yang istidraj ini, keliru dengan pemikirannya dan merasakan bahawa nikmat dan rezeki yang datang kepada mereka adalah kerana Allah  kasih dengan perbuatan maksiat mereka. Apabila kita tanya kepada mereka, “apakah kamu tidak takut mati?”, jawabnya, “alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah!”. Sombongnya mereka, takburnya mereka.
Rasulullah S.A.W. naik ke langit bertemu Allah S.W.T. pun tidak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tidak sombong, secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tidak sombong. Apabila masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.

Oleh itu, kita perlu betulkan kembali niat kita beribadat kepada Allah S.W.T. kerana sesuatu amalan itu bermula dengan niat. Kalau niat kita pun sudah tidak baik, di manakah keikhlasan kita? Kemudian, kita ingat kembali kenapa manusia ini dicipta. Allah tidak mencipta manusia dengan sia-sia. Kalam Allah telah menyebut bahawa :

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu”
 [Ad-Dzariyat: 56]

Jadi, sama-samalah kita berdoa semoga kita dijauhkan daripada sifat istidraj ini. Semoga Allah S.W.T. menerima amalan-amalan kita untuk dijadikan bekal di akhirat kelak.
Wassalam.

Sumber : 
http://peribadirasulullah.wordpress.com/2009/08/15/maksud-istidraj/

NURAINI BTE ISMAIL
EXCO KEPIMPINAN DAN DAKWAH
BADAN DAKWAH DAN ROHANI
UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...