Followers

Tuesday, July 26, 2011

Ahlan Wa Sahlan Ramadhan


Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah.. segala kepujian tertinggi diutus buat Pemilik bagi segala pemilik, yang mencipta dan menjadikan segala sesuatu yang berada di langit dan di bumi. Hanya Dialah ALLAH..Rabbul Jalil..Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Indah.

Ha! Sahabat-sahabat, sedar tak sedar Ramadhan akan menjelma lagi. Apa kata hati anda?? “Gembira ke? Tak Sabar-sabar ke?  Sedih ke? Atau tiada perasaan? Hmmm, tepuk dada Tanya Iman sendiri.. Bulan Ramadhan ialah Musim ibadah yang menjanjikan rahmat dan keberkatan kepada orang yang berpuasa. Tahukah anda sahabat-sahabat, setiap detik di bulan Ramadhan mengandungi keampunan dan keberkatan. Jadi apa lagi,jom kita sama-sama memperbanyak memohon keampunan kepada ALLAH SWT,moga-moga diterima ALLAH..Aminn. Kedatangan bulan yang mulia ini selalu dirindukan dan di nanti-nantikan oleh para pencinta ALLAH SWT dan bagi yang bertaqwa. Rasululllah SAW biasa berdoa:

 “ Ya ALLAH berkati kami dalam Rejab dan Syaaban dan sampaikan kami Ramadhan” (Hadis riwayat at-Tabrani dan Ahmad).

 Apabila sampai Ramadhan Kareem ni, para sahabat saling mengucapkan ‘Ahlan Wa sahlan ya Ramadhan’ yang mana ertinya Selamat Datang Ramadan.

Menyambut Kedatangan Ramadhan dengan hati GEMBIRA
.
Wahai sahabat-sahabat yang disayangi kerana ALLAH SWT, sebagai seorang Muslim yang sejati, kita wajiblah mengambil peluang keemasan ini dengan sebaik mungkin untuk meraih taqwa yang telah ALLAH janjikan dengan kedatangan Ramdhan Kareem ini. Sememangnya Ramadhan itu sendiri diprogramkan untuk melahirkan hamba-hambanya yang bertaqwa kepada ALLAH SWT agar lebih ramai yang berpotensi memasuki Syurga ALLAH. Moga-moga kita tergolong dalam golongan ahli jannah. Aminn.

Sahabat yang ku kasihi, jika sebelum ini kita jarang menyentuh Al-Quran mahupun membacanya, maka di bulan yang penuh keberkatan ini, sama-samalah kita berhijrah dengan menjadikan Al-Quran itu nota penting yang selalu kita pegang, baca dan ingat selalu. Hal ini kerana Ramadhan adalah bulan Al-Quran. Bulan di mana untuk kita kembali menghayati dan mengingati fungsi dan tujuan sebenar penurunan Al-Quran serta mengamalkan seluruh isi kandungannya. . Kegagalan umat Islam zaman ini memahami tujuan sebenar penurunan al-Quran serta mengamalkan seluruh isi kandungannya menyebabkan mereka lemah, berpecah serta dikuasai musuh. Memanglah di setiap rumah ada Al-Quran, tetapi sekadar perhiasan semata-mata. Betul tak? Itulah, dunia di akhir zaman. Sama-sama kita berhijrah ,ditujukan kepada diri sendiri dan sahabat-sahabat.

Di bulan Ramadhan ini, kerahkanlah segala tenaga yang ada untuk tidak melakukan sesuatu yang boleh merosakkan ibadah puasa kita,kerana puasa itu adalah perisai.

"Puasa itu perisai, apabila ada salah seorang kamu di suatu hari sedang berpuasa, maka janganlah berkata-kata keji (kotor), jangan berlaku jahil dan jika ada seseorang memakinya atau mahu membunuhnya maka katakanlah sesungguhnya aku sedang berpuasa". [Riwayat Ahmad]

Kehadiran dan kedatangan Ramadhan ini bisa membuatkan kita berfikir sejauh mana tahap dan kesediaan kita di dalam menyambut bulan yang penuh mulia ini. Adakah seperti bulan-bulan Ramadhan yang lepas? Mudahan-mudahan kali ini membuahkan sedikit kenikmatan serta penghayatan di dalam beribadah.
Mudahan-mudahan Ramadhan kali ini mampu mengubah akhlak dan mengembalikan Iman yang semakin pudar dan samar. Ya Allah bantulah kami di dalam mencari cinta dan redha-Mu. Amin...
شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُ‌ۖ وَمَن ڪَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ‌ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ 
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.(Surah Al-Baqarah 2: Ayat 185) 



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...