Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh…
Di bawah arasy, Allah SWT telah mencipta sebuah laut yang amat luas sejauh mata memandang. Di permukaan laut tersebut Allah telah menciptakan satu malaikat yang sangat besar. Sayapnya di sebelah kanan sejauh mata memandang dan di sebelah kiri sejauh mata memandang. Setiap kali umat islam berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW pada bulan Syaaban maka malaikat tadi akan turun ke dalam laut tersebut dan akan naik semula sambil mengibas-ngibas sayapnya dan bulu-bulu di badannya. Maka akan berguguranlah berjuta-juta air dari tubuh malaikat tersebut. Sekiranya seratus kali umat islam berselawat maka seratus kalilah malaikat tadi akan turun naik kembali sambil mengibaskan sayap dan bulu pada tubuhnya.
Dari setiap titik air dari tubuh malaikat tadi, akan tercipta satu malaikat lain yang mana setiap yang tercipta akan memohon dari Allah SWT akan keampunan dosa orang yang berselawat ke atas nabi Muhammad SAW pada bulan syaaban pada hari Qiamat. Sekiranya sejuta titik air yang gugur dari tubuh malaikat tadi maka terciptalah sejuta malaikat yang memohon keampunan orang yang berselawat. Oleh itu, rajin-rajinlah berselawat pada bulan Syaaban yang mulia ini kerana bulan Syaaban ini adalah bulan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Semoga kita akan tergolong bersama orang yang mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT.
Syaaban membawa maksud berpecah-pecah. Ada yang berpendapat, ini kerana pada ketika itu, bangsa Quraisy terpaksa berpecah-pecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari air di padang pasir. Ada pula yang berpendapat ia membawa maksud pemisah kerana Syaaban adalah pemisah antara bulan Rejab dan Ramadhan.
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Rasulullah s.a.w menjawab, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).
Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Bulan Syaaban dianggap merupakan bulan yang baik untuk kita meminta keampunan daripada Allah, serta memperbaiki diri dari segala macam cela. Dan bersedia untuk bulan Ramadhan yang menyuci dan membersihkan jiwa kita.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
“Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan aku di atas semua nabi-nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhlukNya.”
Puasa Sunat di bulan Syaaban
Pada bulan ini, digalakkan bagi kita untuk memperbanyak Puasa Sunat. Rasulullah s.a.w sendiri lebih gemar berpuasa sunat pada bulan Syaaban.
Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa 3 hari pada permulaan Syaaban, 3 hari pertengahannya dan 3 hari pada akhir Syaaban, maka Allah swt mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti beribadat tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka matinya seperti orang mati syahid.”
Sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud:
“Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak, dan puasa yang lebih afdal sesudah (selain) Ramadhan ialah puasa bulan Syaaban” (Al-Hadis)
Doa, Zikir & Selawat ke atas Rasulullah s.a.w
Bulan ini juga kita digalakkan untuk membanyakkan doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah s.a.w.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Barang siapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah swt akan mengampuni segala dosanya dan menyelamatkannya pada tahun tersebut dari segala macam bencana dan penyakit.” (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin)
Bertaubat
Sangat digalakkan untuk mempernyak bertaubat pada bulan ini. Ini bagi memperbaiki diri dari segala cela, agar bersedia untuk bulan Ramadhan yang menyuci dan membersihkan jiwa kita.
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu.”
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Syaaban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani) (Al-Hadis)
Oleh itu, diharapkan agar kita dapat bersama-sama memperbanyakkan amalan yang baik ini di bulan Syaaban. Banyak fadhilat dan kelebihan yang dijanjikan oleh Allah kepada kita, insyaAllah :)
No comments:
Post a Comment