Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang.
Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Illahi dengan limpah kurniaNya kita masih lagi diberi ruang dan peluang untuk menjalani kehidupan sebagai seorang muslim. Salah satu nikmat yang tiada pada penganut agama lain iaitu nikmat islam dan nikmat iman.
Mengikut kalender masihi InsyaAllah sekiranya diizinkan Allah kita bakal menyambut 1 Ramadhan pada 1 Ogos ini. Justeru itu, saya ingin mengambil kesempatan yang ada ini ingin mengucapkan selamat menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak yang sentiasa dirindui kepada teman-teman pengunjung setia blog BADAR serta ahli BADAR dan tidak lupa juga kepada warga UTeM umumnya. Marilah kita bersama-sama meningkatkan amalan kita pada bulan Ramadhan kali ini, barangkali ini Ramadhan yang terakhir buat kita.
Bersempena dengan Ramadhan yang bakal menjengah kali ini, suka untuk saya kongsikan buat pengunjung setia blog BADAR berkenaan satu kisah yang mungkin sudah lama kita tinggalkan iaitu sejarah peperangan BADAR, peperangan ini berlaku pada 2 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah. Peperangan ini merupakan peperangan yang pertama dalam Islam yang dikenali sebagai ‘Perang Badar’. Badar adalah nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara Madinah dan Mekah.
Peperangan ini melibatkan tentera Islam seramai 313 anggota berhadapan dengan 1,000 anggota tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata. Dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 tentera musyrikin terbunuh, 70 lagi ditawan manakala bakinya melarikan diri.
Peperangan ini adalah suatu yang luar biasa apabila tentera Islam yang kurang jumlah, lemah daripada sudut kelengkapandan berpuasa dalam bulan Ramadhan memenangi pertempuran ‘Perang Badar’. Ini membuktikan puasa bukan penyebab umat Islam bersikap lemah dan malas sebaliknya berusaha demi mencapai keredhaan Allah. Orang yang berjuang demi mencapai kerdhaan Allah pasti mencapai kemenangan yang dijanjikan.
Allahurabbi, begitu besar pengajaran yang boleh kita ambil dari sirah Baginda Rasulullah saw. Syukur Alhamdulillah. Semoga kita mendapat manfaat dari kisah tersebut.
“Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah. Sebab itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya”
Mohd Ridhwan Bin. Hj. Salamun
Naib Yang DiPertua 1
BADAR UTeM
No comments:
Post a Comment