Oleh: MOHD RIDHWAN BIN SALAMUN
NYDP BADAR 10/11
Assalamu’alaikum w.t.b
NYDP BADAR 10/11
Assalamu’alaikum w.t.b
Alhamdulillahirabbil ‘alamin, pertama dan selamanya mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t diatas kesempatan ini masih lagi diberi ruang dan peluang kepada kita untuk beribadah kepadaNYA. Alhamdulillah dengan kesempatan masa yang diberikan ini juga, kita masih lagi dapat meneruskan perjuangan Rasullullah s.a.w.
Karnival Penghayatan Islam (KPI) 2011 ini merupakan kali kedua dianjurkan oleh BADAR selepas melihat kepentingan dan kejayaan KPI 2010 yang lepas. KPI 2011 ini telah berlangsung selama dua minggu bermula dari 17 Oktober sehingga pada hari ini 29 Oktober 2011.
Untuk pengetahuan umum, objektif BADAR menganjurkan program KPI 2011 adalah :
Pertama: Menjadi medan penyebaran dakwah kepada masyarakat UTeM. Jika kita lihat, pelbagai pendekatan yang dilaksanakan antaranya seperti majlis ilmu, sukan, dan kebudayaan yang mana aktiviti-aktiviti ini mampu untuk menarik minat masyarakat UTeM untuk lebih mendekati BADAR dalam masa yang sama mengenali Islam dengan lebih dekat.
Kedua: Merupakan medan latihan kepada mahasiswa untuk bersiasah atau dengan erti kata lain bergaul dengan masyarakat UTeM sama ada dengan pihak pentadbiran mahupun sesama pelajar sendiri. Misalnya, dapat kita lihat dengan jelas ketika mana mahasiswa itu menguruskan suatu program atau aktiviti tidak kira sama ada sebagai ahli jawatankuasa mahupun peserta, pelajar itu akan melalui proses pengurusan masa, pengurusan kerja berpasukan, pengurusan komunikasi dan sebagainya yang mana ilmu ini seharusnya kita rebut kerana ianya sangat berguna pada masa akan datang.
Hadirin yang dirahmati Allah s.w.t sekalian,
Saya selaku Pengarah Program KPI 2011 mewakil barisan penggerak, mengucapkan setinggi-tinggi jutaan terima kasih kepada Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Pusat Islam, MPP serta Kelab dan Persatuan yang telah memberikan kerjasama yang baik dalam menjayakan KPI 2011 ini. Terima kasih juga diucapkan kepada seluruh barisan penggerak KPI 2011 kerana telah memberikan komitmen yang tinggi dalam menggerak dan melancarkan program KPI pada kali ini serta ucapan terima kasih juga buat hadirin sekalian yang telah membantu dan memberi sokongan yang penuh kepada kami dalam menyampaikan dakwah umum di UTeM.
Sepanjang KPI 2011 ini, sudah pasti adanya kekurangan dan kekhilafan daripada pihak kami. Untuk itu, saya bagi pihak ahli jawatankuasa KPI memohon maaf di atas segala kekurangan. Sebelum saya mengakhiri ucapan, ingin saya memetik dua ayat dari Al-Quran.
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya"
Dan ayat kedua dari surah Muhammad ayat 7 maksudnya:
"Wahai orang-orang yang beriman. Jika kamu membela (Agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan pendirian kamu"
Semoga bertemu lagi di KPI 2012. Sekian, With Ukhuwah We Care.
*Dipetik dari Majlis penutup KPI 2011 (29 Oktober 2011 bertempat di Masjid UTeM)
No comments:
Post a Comment