Followers

Thursday, November 3, 2011

Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha

Assalamualaikum w.b.t

Setelah sekian lamanya, bertemu lagi kita dengan bulan yang penuh barakah iaitu bulan Zulhijjah ini. Kami warga badar ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh warga UTeM terutamanya, Moga-moga,dalam kita menyambut hari yang penuh dengan kemuliaan ini, sedikit sebanyak mengingatkan kita dengan kisah Nabi Ibrahim serta anaknya. Marilah sama-sama kita mengingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS menyembelih anaknya Nabi Ismail AS.


         
Nabi Ibrahim AS. adalah salah seorang Nabi yang termasuk di dalam ulul ‘azmi, iaitu golongan Nabi yang salah satu cirinya memiliki kesabaran yang lebih berbanding manusia biasa. Beliau juga dikenali sebagai abul adyan (baca: bapa agama). Beliau juga merupakan seorang  pengembara spiritual (pencari Tuhan) sebagaimana dikisahkan dalam surah al-An’am ayat 75-76.

Beliau terkenal dengan sifat Kesabaran yang tinggi. Kesabaran beliau dapat kita ketahui melalui jalan kisah hidupnya. Salah satu kisah yang menggambarkan kesabaran beliau adalah kesabaran beliau dalam penantian yang lama menunggu kelahiran seorang anak setelah berkahwin dengan Siti Sarah (isteri pertamanya). Dan kesabaran beliau dalam melaksanakan perintah Allah Swt. setelah memiliki anak.

Ketika  itu Nabi Ibrahim As. dengan sabarnya menunggu kurniaan Allah Swt.. Sampai tibalah suatu waktu, dengan kerelaan isteri pertamanya ia berkahwin dengan Siti Hajar (isteri kedua). Dari pernikahannya yang kedua inilah, ia dikurniakan anak lelaki yang diberi nama Ismail.

Namun kebahagiaan Nabi Ibrahim bersama Siti Hajar kembali diuji oleh Allah Swt.. Ia diperintahkan untuk mengasingkan Siti Hajar serta Ismail yang masih bayi ke bukit Shafa yang gersang dan tandus. Tempat yang jauh dari pemukiman penduduk. Tidak mustahil terdapat banyak binatang buas di tempat tersebut. Tetapi dengan penuh ketaatan dan kesabaran berangkatlah Ibrahim menghantarkan isteri dan puteranya ke tempat tersebut. Kemudian meninggalkan mereka di bukit gersang dan tandus tersebut.

Selang beberapa waktu Siti Hajar dan Ismail ditinggalkan Nabi Ibrahim, ujian menyapa mereka. Ismail merasakan kehausan. Sedangkan minuman serta makanan telah habis. Ditambah lagi air susu si ibu tidak dapat disusukan kerana telah banyak keluar tenaga dan susu tidak ada. Namun, Ismail yang belum cukup faham dengan keadaan ibunya tetap menangis.

Siti Hajar pun berasa bingung. Secara logikanya di bukit gersang dan tandus akan sangat susah untuk mendapatkan air. Tapi agungnya pengorbanan seorang ibu tidak terhalang oleh hal demikian. Dengan gigih Siti Hajar berlari-lari kecil (sa’i) menuju bukit Marwah. Dalam pandangannya, ia melihat genangan air di bukit tersebut. Namun, setelah didatangi ternyata yang ia dapati hanyalah fatamorgana. Lantas ia pun kembali lagi ke bukit Shafa kerana setelah tiba di bukit Marwah ia melihat genangan air berada di bukit Shafa. Tapi yang ia dapati fatamorgana juga. Hinggakan , ia hilir mudik antara Shafa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Berlari-lari kecil (baca: sa’i) ini menjadi syari’at umat Nabi Muhammad saw, sebagai salah satu rukun ibadah haji.

            Setelah cukup lelah hilir mudik sebanyak tujuh kali antara Shafa dan Marwah, tiba-tiba ia melihat pancaran air dari tanah bawah. Tepat pada bekas jejak kaki Ismail. Air tersebut terus memancar keluar dari permukaan tanah. Sehingga menjadi genangan. Melihat genangan air yang semakin besar itu, Siti Hajar bersyukur atas anugerah Allah tersebut dan berkata pada air itu, “zam zam ya al ma’u” (kumpul, kumpul wahai air). Air tersebut membentuk genangan yang semakin lama semakin besar seperti sumur. Maka, rontaan dan tangisan kehausan Ismail pun dapat diubati dengan air yang penuh berkah. Bahkan hingga sekarang, air tersebut masih tetap memacarkan berkah bagi semua peminumnya dan tidak pernah kering walau sudah ramai orang meneguknya selama berabad-abad.

Beberapa tahun kemudian Nabi Ibrahim mendapat ilham dari Allah melalui mimpi untuk menyembelih puteranya Ismail. Ismail telah membesar dan menjadi anak remaja yang ceria dan mulai  membantu sang ayah bekerja. Namun dengan kesabarannya, Ibrahim menyampaikan perintah Allah tersebut (ilham) yang dia dapat melalui mimpinya kepada Ismail dengan diliputi perasaan gundah gulana, “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!”. Ismail menjawab: “Hai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah ayah akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.” (Q.S. Ash Shaaffaat:102).

Apabila keduanya telah bersepakat melaksanakan titah Yang Mahakuasa, mereka pun pergi mencari tempat untuk melaksanakan penyembelihan. Tetapi kemudian godaan datang dari syaitan, mereka (Ibrahim dan Ismail) dipengaruhi supaya tidak jadi melaksanakannya. Tetapi dengan komitmen yang kuat mereka berdua tetap akan melaksanakan perintah Allah tersebut. Sampai Ibrahim melempar batu mengusir syaitan di beberapa tempat. Inilah asal mula disyari’atkannya lempar jumrah pada saat ibadah haji.

Setelah tiada lagi yang mengganggu, Ibrahim membaringkan anaknya. Dengan penuh kesabaran dan ketaatan, Ibrahim pun meletakkan sebilah senjata tajam (sejenis golok) di leher Ismail. Puncak penyerahan diri yang optimal kepada Allah. Namun yang terjadi di luar dugaan mereka. Ketika senjata tajam digeselkan ke leher Ismail, Allah menggantinya dengan seekor gibas (sejenis domba) yang besar. Demikian ini menjadi sunnah ibadah qurban yang kita laksanakan pada hari ‘Idul Adha dan tiga hari berikutnya.

Demikian kisah yang dialami keluarga teladan dalam mencapai ketaatan pada Yang Maha berhak ditaati. Pengalaman si ibu yang diasingkan, ayah yang mendapat perintah untuk menyembelih buah hatinya yang telah lama didambakan serta sang anak yang merelakan diri untuk disembelih.

Mudah-mudahan kita dapat meneladani kesabaran, ketaatan serta pengorbanan di jalan kebaikan yang telah dicontohkan oleh Nabi Ibrahim As. dan keluarganya.Dan semoga sama-sama kita memperingati perngobanannya yang tinggi semata-mata kerana ALLAH swt.

"With Ukhuwah We Care"


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...