Followers

Monday, April 8, 2013


Apa Perhiasan Bagi Nikmat??

Assalamualaikum w.b.t  sahabat-sahabat sekalian?
Diharapkan agar kalian sihat sejahtera hendaknya. Segala puji bagi Allah s.w.t, Tuhan Sekalian Alam yang telah menjadikan kita iaitu manusia, antara mahkluknya yang teristimewa dan mulia berbanding dengan mahkluk-makhkukNya yang lain. Mengapa? Kerana yang membezakan hanyalah akal semata-mata. Dengan akallah manusia dapat berkembang dan membina sesebuah tamadun dengan jayanya.
          Saya tertarik dengan salah satu daripada kata-kata hikmah salah seorang sahabat Baginda Rasulullah s.a.w iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang berbunyi :
“Syukur Itu Perhiasan Kepada Nikmat”
Berdasarkan ayat tersebut, boleh kita simpulkan bahawa setiap nikmat yang telah diperolehi dari Allah s.w.t perlu disertakan dengan rasa syukur dan mampu memanfaatkan sebaiknya. Terlalu banyak nikmat yang telah kita terima sejak dari permulaan kejadian kita sehinggalah kita kembali semula kepada Khaliq (sang Pencipta). Sebut sahaja nikmat yang sinonim dengan diri kita samada ada dari segi kemewahan hidup, kerjaya yang terjamin,  keluarga yang bahagia, kesihatan yang baik, rupa yang elok mahupun kemampuan dari segi akademik dan banyak lagi. Sesungguhnya nikmat-nikmat tersebut menyeru kita untuk sentiasa bersyukur pada yang telah mengurniakannya. Jika rasa syukur itu tidak ada dalam diri kita, maka jadilah kita sebagai manusia yang dikatakan ‘kufur nikmat’. Kita tidak mahu menjadi manusia yang menyesal dikemudian hari mengenangkan segala nikmat yang telah diambil semula oleh Allah s.w.t..
Harus diingatkan juga bahawa setiap apa yang telah kita terima daripada mahkluk datangnya daripada Allah jua. Sebagai contoh;ibu bapa yang menyediakan kelengkapan bagi anak-anaknya, seorang guru yang telah menyampaikan ilmu pengetahuan kepada anak didiknya, majikan yang memberikan gaji kepada pekerjanya, pemerintah yang telah mengadakan kemudahan buat rakyat jelatanya. Sesungguhnya mereka juga menerima nikmat daripada Allah s.w.t untuk diagih-agihkan buat jagaannya.
Pernah suatu ketika seorang Alim memperingatkan saya tentang setiap manusia itu telah ditetapkan baginya bahagian-bahagian rezekinya didunia. Oleh itu, dua perkara kita perlu ada adalah rasa menghargai dan bersyukur. Apabila saya cuba mengkaitkan dengan dunia realiti, tidak semua yang mampu melakukan dua perkara ini. Satu contoh yang mudah dan selalu terjadi, sedang kita menjamu selera di sesebuah kedai makan, sering kali antara kita tidak mampu menghabiskan makanan di atas pinggan dan menyebabkan amalan syaitan turut menjadi amalan kita (pembaziran). Sedangkan makanan itu kita yang pilih dan tentukan kuantitinya. Pelbagai alasan diberi, sebagai contoh ‘makanan tidak sedap’, ‘terambil banyak’, ‘terlalu itu..dan ini…’. Apabila difikirkan semula, semua itu adalah rezeki kita ketika itu. Dalam doa seharian kita sering memohon agar di luaskan rezeki dari pelbagai sumber dan sudut. Namun rezeki yang kita perolehi tidak pula digunakan sebaik yang mungkin ! Kerana itulah, dalam setiap tindakan kita perlu ada kesederhanaan (wasatiyyah) dan tidak melebih-lebih bagi memupuk rasa syukur diatas nikmat yang telah diberikan.
Akhir sekali, semoga rasa syukur kepada Allah s.w.t sentiasa mekar dalam diri mereka yang bergelar manusia, Aamiin…




















NUR NADHIRAH BT MISRON
SETIAUSAHA
BADAN DAKWAH DAN ROHANI
UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...